Friday, October 10, 2008

kosmologi Dari Perspektif Quran dan Sains


Membincangkan konsep kosmologi menurut perspektif Quran dan Sains Moden, beberapa teori mengenai kejadian alam, konsep alam menurut Quran, matlamat penciptaan alam dan kesudahan alam semesta menurut sains serta Quran.

PENDAHULUAN

“Segala puji bagi Allah Rabb Semesta alam” Quran: Al-Fatihah 1:1

Kajian berhubung dengan konsep kosmologi biasanya dimaksudkan dengan kejadian langit dan bumi serta cakrawala-cakrawala yang ada. Manakala juzuk-juzuk alam yang lain seperti manusia, binatang dan tumbuhan, kajian mengenainya dikenali dalam disiplin ilmu yang tersendiri seperti biologi dan botani.

Berhubung dengan kejadian alam semesta, tidak ada satu pandangan atau teori pun yang dapat memberi falta serenar. Ini disebabkan manusia jahil mengenainya dan manusia bukan pencipta kepada alam semesta. Allah Taala sebagai pencipta kepada alam semesta ini, keterangan-keterangan yang diwahyukanNya paling tepat dan sayugia dikaji bagi mengetahui rahsia-rahsia kejadian alam ciptaanNya.

Alam ini bermula dari tiada menjadi ada. Penerimaan akal yang menetapkan alam sedemikian tidak ada pertentangan dengan rasional yang menyatakan bahawa setiap benda yang wujud pasti ada permulaan dan ada yang mengadakannya. Tidak ada sesuatu apapun yang wujud dalam alam ini secara kebetulan, atau tidak dijadikan. ASPEC kebetulan dan tidak dijadikan bertentangan dengan rasional akal dan tidak boleh diterima oleh fikiran. Apabila akal menerima ketetapan bahawa alam ini terjadi daripada tiada kepada ada, ia mengundang para pengkaji menyelidik dan meneliti aspek-aspek berikut:

1. Apakah yang dikatakan Alam, atau Definasi Alam.
2. Tujuan penciptaan dan memahami alam.
3. Kejadian alam dan teori-teori mengenainya.
4. Kejadian alam menurut Quran.
5. Sifat serta lakuan alam.

DEFINASI ALAM

Ada berbagai pengertian yang dimaksudkan dengan alam:

Para Teologis mendefinasikan alam sebagai nama sesuatu yang dipaksikan kepada selain Allah kerana ia mengajar kita mengenal adanya pencipta.
( Nuruddin al-Sabuni, KitabAl-bidayah min Al-Kifayah fi Al-hidayah fi Usuluddin, Tahkik Fathullah Khalif, Dar’ al-Mu’arif, Mesir,1969, hlm. 34).

2. Para failasuf mendefinasikan alam sebagai kumpulan jawhar yang tersusun dari benda dan surah [bentuk] yang ada di langit dan di bumi. Alam juga dipakai dengan maksud dunia, iaitu merujuk kepada bumi dan segala yang ada padanya dan yang ada di langit [bumi, bintang-bintang, tenaga-tenaga yang ada dll]. Dalam istilah Inggerís disebut senagai Universe atau Cosmos. (Jamil Saliba, Al-Mu’jam al-Falsafi, Dar al-kitab al-Lubnani, Beirut, 1973, hlm 4)

Dalam Quran kekata alam di bawa dalam maksud jamak [plural] iaitu ‘alamin [dibaca dengan hufur ‘ayn dipanjangkan] dan memberi dua maksud:

Sekumpulan makhluk tuhan yang berakal. Atau dalam kata lain manusia.
Sekumpulan makhluk yang memiliki sifat-sifat yang mendekati makhluk yang berakal. Kerana itu dikenali istilah alam malaikat, alam jin dan tumbuhan. Tidak disebut sebaliknya alam batu batan dan alam tanah tanih.

QURAN DAN KOSMOS

Kata alamin dalam Quran tidak merujuk kepada kosmos atau ‘Universe’. Ayat-ayat berikut membenarkan kenyataan ini.:

“ Wahai Bani Isra’il, ingatlah akan nikmat-Ku yang telah Aku anugerahkan kepada kamu dan [ingatlah] bahawasanya Aku telah melebihkan kamu atas al-‘alamin”. [Surah Al-Baqarah ayat 47].
Kekata al-‘alamin dalam nas ini membawa maksud umat manusia. Jadi ayat ini bermaksud bahawa Allah s.w.t melebihkan Bani Isra’il dari umat manusia lain dengan nikmat yang banyak. Antaranya perutusan nabi-nabi yang paling ramai di kalangan mereka, hal ini tidak berlaku kepada umat lain. Keistimewaan ini tidak merujuk kepada individu dengan maksud menafikan seksa apabila mereka menyimpang daripada petunjuk nabi-nabi mereka.

“Sesungguhnya rumah Ibadan yang mula-mula dibangun untuk [tempat beribadat] manusia, ahíla Baitullah di Mekah yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi al-‘alamin”. [surah Ali-Imran ayat 96]
Ertinya rumah Ibadah tersebut menjadi petunjuk bagi seluruh umat manusia.

“Dan kamu sekali-sekali tidak meminta upah kepada mereka [terhadap seruan ini], itu tidak lain hanyalah peringatan bagi al-‘alamin”, [Surah Yusuf, ayat 104]
Istilah dhikr lil al-‘alamin itu bermaksud peringatan bagi sekalian jin dan manusia.

Istilah alam semesta dpakai oleh Quran dengan ungkapan al-samawat wal-ard wa ma baynahuma [langit dan bumi segala isi diantara keduanya]. Dalam Surah Al- ma’idah ayat 17, Allah menyebut: “ wa lillahi mulkus samawati wal ardi wa ma baynahuma” [dan kepunyaan Allah sahaja kerajaan di langit dan di bumi serta segala apa yang ada diantara keduanya]. Dalam Surah Maryam ayat 65, Allah menyebut: “ rabbus samawatiwal ardi wa ma baynahuma fa’budhu” [Rabb langit dan bumi serta apa yang ada antara keduanya, maka sembahlah Dia].



TUJUAN PENCIPTAAN DAN DAN MEMAHAMI ALAM

Alam manusia, jin dan malaikat yang diciptakan untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Alam binatang, tumbuhan dan jamadat serta lain-lain kejadian seperti cakrawala, udara, lautan dan seumpamanya adalah untuk berkhidmat kepada manusia dalam skop ubudiyyahnya kepada Allah taala. Alam semesta ini diibaratkan ‘kitab’ Manzurah [yang dapat dilihat dan direnungi]. Atau dengan kata lain ‘ayat-ayat Allah’ iaitu tanda-tanda kewujudan Allah yang dapat diperhatikan menerusi fenomena-fenomena alam yang berlaku padanya. Ayat-ayat Allah yang Manzurah ini sama pentingnya dengan ayat-ayat Allah yang Maqru’ah [Ayat-ayat Allah yang dibaca] di dalam wahyu Quran.

Kedua-dua ayat Allah yang maqru’ah [Quran] dan yang Mansura [alam semesta], saling lengkap-melengkapi. Ayat-ayat Allah dalam Quran merupakan kunci permulaan untuk memahami ayat-ayat Allah yang Manzurah [kitab alam]. Bahkan dalam ayat Quran maqru’ah terdapat tidak kurang dari 750 rangkai ayat yang menyebut secara tegas berhubung dengan fenomena alam semesta. Secara umumnya ayat-ayat tersebut berupa arahan supaya manusia memerhati, meneliti dan membuat renungan [nazar] terhadap segala kejadian itu bagi memperoleh kesedaran bahawa disebalik kejadian yang wujud itu terdapat zat Yang Maha Berkuasa.

Daripada kenyataan tersebut dapat ditegaskan beberapa perkara berhubung dengan tujuan memahami alam semesta:-

1. Wasilah Memahami Kebesaran Allah

Memahami alam semesta dapat menjelaskan dengan lebih terperinsi bahawa alam ini berfungsi sebagai wasila kepada seseorang untuk mengenal adanya pencipta Yang Maha Berkuasa. Ia sekaligus memperlihatkan kelemahan manusia sebagai makhluk Allah yang serba kekurangan. Sayyid Hossein Nasr menegaskan: “Pengkajian keatas alam tabii, yang dalamnya tujuan dan hikmat Ilahi terpancar, akan akhirnya membawa kita kepada ilmu kepada sumber segala kewujudan. Sejauh mana semua makhluk bergantung wujud kepada pencipta yang Wujud Semata, maka sejauh itulah semua ilmu Alam Tabii mengandung tujuan dan maksud bagi memahami zat semua benda dalam hubungannya dengan keasalan punca Ilahi. Zat segala semua adalah datangnya dan berwujud di dalam Wajud Wajib. Ibn Sina menulis di dalam hal ini “Tahukah anda siapa itu raja?. Raja yang sejati ialah Raja yang kaya raya secara mutlak dan tidak ada sesuatu yang boleh berlaku tanpa-Nya. Kepunyaan-Nyalah zat setiap sesuatu kerana Dialah sumbernya atau kerana ia berpunca daripada sesuatu yang berasal daripada-Nya. Setiap benda selain-Nya adalah milik-Nya dan Dia tidak memerlukan apa-apapun.”
(S.H. Nasr, Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam, Terjemahan baharudin Ahmad, DBP, KL 1992, hlm 259).

2. Tiada Pertentangan Antara Quran dan Alam Semesta


Kefahaman terhadap alam semesta dapat menyedarkan seseorang bahawa adanya kesesuaian dan ketepatan antara ‘kitab’ alam dengan kitab Al-Quran, kerana keduanya datang dari sumber yang satu. Tiada sekali percanggahan antara keduanya. Contoh yang terdekat dalam masalah ini ialah Firaun yang mati tenggelam dalam laut merah dan mayatnya di damparkan ke pantai supaya generasi berikutnya mengetahui. “Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau [hai firaun] terlepas dengan badanmu [yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut], untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu [supaya mereka mengambil iktibar]. Dan [ingatlah] sesungguhnya kebanyakkan manusia lalai daripada [memerhati dan memikirkan] tanda-tanda kekuasaan kami”. Al-Quran Surah Yunus, ayat 92
Berdasarkan maklumat Quran itu, para penyelidik mengkaji keterangan Quran dan mempastikan Firaun yang mana satu tenggelam di laut. Mereka menemui mayat Firaun yang tubuhnya dipenuhi dengan garam dan bedah siasat yang dijalankan menunjukkan bahawa dia betul-betul mati tenggelam. Hasil dari penyelidikan itu diberi komentar oleh seorang pakar bedah terrenal daripada Perancis, Dr. Maurice Bucaille dengan katanya:

“ Alangkah agungnya contoh yang dikemukakan oleh ayat Quran berkenaan jasad Firaun yang Semarang berada di ruang mummy di Muzium Negara Mesir di Caerá. Penyelidikan dan penemuan moden menunjukkan kebenaran Quran”..
(Maurice Bucaille, Bible,Quran dan Sains Moden, terjemahan M. Rasjidi, Bulan Bintang, Yakarta 1978, hlm 278)

3. Memperolehi Keyakinan Bahawa Quran Adalah Wahyu

Mengkaji dan menyelidiki alam semesta, seseorang itu dapat meyakini dengan pasti kebenaran Quran sebagai wahyu Allah Taala. Fenomena-fenomena alam yang terjadi telah sedia disebut dalam Quran. Hal ini memberi kepastian bahawa adalah tidak mungkin Quran itu buatan manusia kerana manusia tidak mungkin mengetahui lantaran tidak memiliki ilmu pengetahuan tentangnya. Sejak 1400 tahun yang lampau Quran telah menyatakan secara umum adanya planet selain Bumi, Matahari, Bulan serta bintang-bintang yang disaksikan manusia. Hal ini terbukti dengan penemuan-penemuan baru dalam bidang astronomi. Sebelum ini manusia hanya mengenali planet Mercury, Venus, Mars, Júpiter dan Saturn. Kemudian ditemui berikutnya tiga planet lain Uranus, Neptun dan Pluto.

Pada November 1989 pakar astronomi menemui quasar yang jauhnya 14 million tahun cahaya dari bumi.[satu saat cahaya = 270,000 km. 1 tahun cahaya = 9,460,000,000,000 km]
Tiga Astronomer USA Dr. Susan M. Simkin, ketua bahagian astronomi Universiti Michigan, Jacqueline Van Gorkom dan John Hibbard dari pusat kajian bintang di Nacional Socorro New Mexico, serta seorang ahli astronomi China bernama Dr. Hong-Ju Su Nanking menerusi teleskop raksasa di New Mexico telah menemui galaksi raksasa yang diberi nama Markarian 348. Besar galaksi ialah 13 kali ganda galaksi Bimasakti dan jauhnya dari bum 300 juta tahun cahaya. Garispusatnya 1.3 juta tahun cahaya dan panjangnya dari hujung ke hujung 12,350,000,000 milion km. Sesudah itu ditemukan pula sebuah galaksi lagi yang dianggap paling besar yang diberi nama ‘The Great Attractor’. Galaksi ini ditemui oleh Dr. Alan Dressler dari Carnegie Institut Washington dan jauhnya dari bumi ke galaksi ini memakan masa 150 juta tahun cahaya.

Galaksi Sombrero –jaraknya dari bumi ialah 28 million tahun cahaya.
Berdasarkan ayat Quran Surah al-Sajdah ayat 4 yang menyebut; “Allah, tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada diantara keduanya dalam enam masa”. Ayat juga menegaskan penciptaan selain langit dan bumi, iaitu sesuatu yang ada dianta keduanya”. Penemuan-penemuan baru itu memberi keyakinan benarnya ungkapa Quran yang menyebut selain Allah menciptakan langit dan bumi Dia juga ada mencipta “segala yang ada diantara keduanya”. Hal ini terbukti dengan penemuan tersebut.

4. Mempertingkatkan Keimanan kepada Allah

Mengkaji alam semesta dapat mempertingkatkan keimanan seseorang kepada Allah yang menciptakannya. Perkara ini berlaku apabila aspek-aspek alam itu dikaji dan dibuat rumusan, seseorang itu akan sampai ke peringkat mengiktiraf kewujudan Tuhan dan ciptaannya. Ujar afazlur Rahman dalam hubungan ini:

“ Cosmology is the starting point of all sciences in Islam and it deals with the creation of the wonderful world of god, Who is one, both transcendent and immanent. There is no deity but one God, and Muhammad is the Mesengger of God. The doctrine is the central theme of all scientific knowledge, because, “All the cosmos was created by One God and, inspite of it’s vastness and hierarche structure, reflects the Unity of God’.
[ Afzalur Rahman, Quranic Sciences, The Muslim School Trusts London, London, 1981, pg.41]


Bilakah Alam Ini Bermula?

Mengetahi masa bilakah bermulanya alam semesta ini bermakna percubaan untuk memperolehi maklumat mengenai berapa tahunkah umur alam semesta. Ertinya Sejak bila ia mula tercipta?. Manusia pastinya tidak mampu memberi jawapan yang tepat berhubung dengannya. Hal ini disebabkan alam semesta ini wujud lebih dahulu dari kewujudan manusia sementara manusia pula sama sekali tidak mencipta alam semesta. Manusia dan cakrawala ini adalah makhluk semata di sisi Allah Taala. Bagaimanapun mereka membuat kajian dari masa ke semasa untuk mendapatkan jawapan yang memuaskan.

New Straits Times, jumaat 20 Jun 1993, dalam ruangan ‘World News’ menyiarkan satu berita berkenaan perkara ini berjudul “Measuring the Universe Age”. Menurut berita tersebut pakar-pakar Astronomi yang bekerja dengan Agensi Hubble Space Telescope di Amerika Syarikat, telah membuat kajian selama 2 tahun, mendapati umur alam semesta ini antara 15 hingga 20 billion tahun. Anggaran ini menurut mereka lagi adalah bersifat semasa [current estimates]. Bagaimanapun terdapat banyak teori mengenai umur alam semesta ini bila diukur dengan masa kemunculannya.... bersambung

No comments: