Sunday, November 9, 2008

KESUDAHAN ALAM

Oleh kerana alam ini ada permulaannya, maka akal waras pasti mengatakan bahawa akan tiba pada suatu masanya nanti ia akan menemui pengakhirannya. Yang dimaksudkan pengakhiran alam ini ialah berlakunya kehancuran alam semesta yang mana dalam ajaran Islam ianya disebut sebagai hari kesudahan atau hari kiamat.
Berdasarkan adanya sifat pengembangan kepada alam semesta ini, sains menyakini bahawa proses pengembangan ini akan terhenti dan alam ini akan berada dalam keadaan pegun buat seketika sebelum mengalami proses pengecutan semula. Pada mulanya proses pengecutan ianya berlaku dengan sangat perlahan dan kadarnya akan bertambah mengikut masa. Galaksi yang pada mulanya bergerak arah keluar, akan mula bertukar arah menjadi sebaliknya iaitu hala ke dalam. Dalam gerakan ini galaksi akan bertembung sesama sendiri kerana kehilangan daya keseimbangan dan graviti. Ini bermakna akhirnya ia kembali kepada asalnya, iaitu kurang daripada ruang sebiji atom. Pada waktu ini ruang dan masa juga akan lebur bersepai menjadi “tunggalan”.

Tepat sepetimana Allah menyebut dalam Quran:

“Pada hari Kami gulung langit sebagai menggulung lembaran-lembaran kertas. Sebagaimana Kami memulakan penciptaan pertama begitulah Kami akan mengulanginya. Itulah satu janji yang pasti Kami tepati, sesungguhnya Kamilah yang akan melaksanakannya”. [Al-Anbiya’ 21:104].
Ramai ahli fizik percaya bahawa Big Crunch mewakili akhiran kepada alam semesta, sepertimana mereka percaya bahawa Big Bang adalah permulaan alam semesta. Unsur asas alam semesta ini iaitu masa, ruang dan jirim wujud dengan Big Bang melalui proses ledakan keluar dan akan hilang daripada kewujudan dengan Big Crunch melalui proses musnahabisan..

Bilakah hari kehancuran ini akan berlaku?. Tiada seorang manusia yang mengetahuinya. Ia ada dalam ilmu Allah. Bagaimanapun saintis dan astronomer cuba membuat ramalannya dan menyatakan bahawa akhiran alam semesta ini akan tiba kira-kira enam ribu juta tahun lagi.

Persoalannya di sini bukannya dari sudut bila masa berlakunya, kerana ramalan tidak menjanjikan satu ketepatan, apa yang hendak diketengahkan ialah soal sains moden kini menerima kepastian bahawa alam semesta ini akan hancur dan ini telahpun diungkapkan oleh Quran sejak ribuan tahun dahulu menerusi wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Sains meramalkan terdapat lima kemungkinan bagaimana alam semesta ini boleh hancur:

1. Matahai meletup dan bumi musnah dalam lautan api yang sangat panas.
2. Matahari tidak berfungsi atau padam sama sekali, hingga bumi menjadi sebiji bola yang dilitupi ais.
3. Berkemungkinan satu bintang yang besar akan bertembung dengan matahari yang akan melibatkan kehancuran bumi juga.
4. Kemungkinan adanya bintang berekor jatuh ke bumi dengan kedahsyatan yang amat sangat hingga bumi hancur.
5. Jarak bumi dengan bulan begitu mendekat sehingga menimbulkan gelombang air pasang yang dahsyat disertai letusan hebat gunung berapi.

Sehubungan dengan lenyap dan berakhirnya bumi, Prof. Mazlan Othman menulis:

“ Kita telah meramalkan bahawa lima ribu juta tahun dari sekarang , matahari akan kehabisan Hidrogen untuk dibakar. Pada waktu itu, ia akan berkembang menjadi raksasa merah dan akan menelan planet-planet, termasuk bumi dan mungkin juga Musytari. Seorang penghuni pada masa itu akan melihat matahari semakin besar di langit. Haba matahari akan menyejatkan segala air yang ada di muka bumi, meninggalkan keadaan yang kontang dan segala tumbuhan akan mati. Semua kehidupan akan berakhir. Sekiranya ada pun kehidupan yang dapat bertahan, lama kelamaan akan menghadapi masalah juga kerana kita ketahui bahawa matahari akan bertukar daripada bentuk raksasa menjadi kerdil putih, satu objek sebesar planet yang tidak lagi berupaya menjanakan tenaga dan tidak lagi mampu mengeluarkan cahaya. Kehidupan akan pupus jua kerana kerana tidak ada sumber tenaga untuk membenarkannya meneruskan kewujudannya”. [Mazlan Othman, Kedinamikan Cosmos, hlmn. 42-43].

Pada 30 Disember 1976, BBC pernah membuat laporan bahawa adanya penurunan kepada kadar daya graviti bumi. Galaksi Milky Way akan dihujani dengan 100 milyar bintang dan pada waktu itu akan berlaku kehancuran yang amat dahsyat. Saintis juga meramalkan galaksi yang berada di dalam alam semesta ini akan meledak antaranya yang bernama Crab Nebula yang kadar kekuatannya 1000,000,000,000,000,000,000,000 kali ganda bom nuklear.
Apakah ramalan ini benar?. Quran menyebut: “ dan apabila bintang-bintang berjatuhan” [Al-Takwir 81:2]

No comments: